FORUM INFORMASI

INFORMASI TERKINI

LUAHAN RASA KU header image 1

Pendekatan dasar luar

November 19th, 2007 · No Comments · 1,180 views

WALAUPUN Universiti Malaya (UM) tidak tersenarai dalam 200 universiti terbaik dunia tahun ini, tetapi peranannya sebagai gedung yang menjana ilmu sejak lebih 100 tahun terus dilaksanakan untuk dimanfaatkan oleh masyarakat.

Usaha terbaru UM ialah menerbitkan sebuah buku berjudul Perdana Menteri dan Dasar Luar Malaysia 1957-2005 karya Faridah Jaafar, siswazah Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM menarik untuk dibaca.

Buku ini bertujuan menganalisis peranan lima Perdana Menteri dalam penggubalan dasar luar Malaysia, di samping menilai pengaruh keperibadian mereka ke atas dasar tersebut.

Pengarang memberi fokus terhadap idiosinkratik iaitu hubungan peribadi politik dalam dasar luar Malaysia dari tahun 1957 hingga 2005, dan peranan yang dimainkan oleh Perdana Menteri dalam hubungan antarabangsa.

Menurut pengarang, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi menunjukkan penguasaan, kekuatan, kepimpinan, inisiatif dan pengaruh yang begitu ketara dalam dasar luar Malaysia.

Dalam menganalisis dasar luar Malaysia, pengarang berjaya mengenal pasti satu faktor iaitu peranan peribadi yang didapati begitu dominan dalam proses membuat keputusan.

Hal ini terbukti apabila para penganalisis dasar luar Malaysia sering secara literal mengklasifikasikan dekad dasar luar bersandarkan penguasaan dan pengawalan setiap Perdana Menteri ke atas dasar tersebut.

Lima fasa pemerintahan di bawah setiap Perdana Menteri memberi gambaran tersendiri dalam keupayaan mereka merangka dasar luar Malaysia, malahan menampilkan keperibadian pemimpin melalui dasar luar yang digagaskan.

Menurut penulis, di zaman Tunku Abdul Rahman dari 1957-1970, dasar luar Malaysia berada pada tahap pengasasan dan pengembangan. Pendekatan ini bersumberkan pengaruh keperibadian Tunku yang begitu pro-Barat dan antikomunis, selain situasi politik domestik yang kurang stabil ketika itu.

Era pemerintahan Perdana Menteri kedua (1970-1976) memperlihatkan keupayaan mendalam Tun Abdul Razak mengendalikan hubungan luar Malaysia mengikut arus perubahan.

Tokoh itu telah merintis usaha ke arah peneutralan dasar luar Malaysia dengan menjalinkan hubungan diplomatik dengan hampir semua negara tanpa mengira ideologi.

Perkembangan ini selaras dengan gaya kepimpinan beliau yang sederhana dan pragmatis dalam menyampaikan aspirasi nasional di peringkat antarabangsa.

Beliau juga telah mengadakan penyelarasan dalam aspek politik, ekonomi dan dasar pertahanan bagi memenuhi tuntutan strategik negara.

Pengganti beliau, Tun Hussein Onn yang memimpin dari 1976-1981, tidak menunjukkan sebarang perubahan drastik dalam dasar luar Malaysia. Hal ini bersesuaian dengan keperibadian beliau yang tidak mempunyai ciri-ciri radikal.

Tun Hussein lebih banyak mengekalkan dan meneruskan dasar yang telah diasaskan oleh pemimpin sebelumnya. Apa yang dapat disimpulkan oleh pengarang ialah dasar luar Malaysia pada zamannya telah menunjukkan era pengukuhan.

Dalam periode kepimpinan Tun Dr. Mahathir (1981-2003), dasar luar Malaysia dilihat begitu menarik kerana bersalutan isu-isu yang menimbulkan kontroversi dan mengundang perdebatan hangat.

Peranan beliau dalam dasar luar begitu meluas melebihi penguasaan Perdana Menteri sebelumnya. Menurut pengarang, ini disebabkan Dr. Mahathir mempunyai minat dan pengetahuan yang mendalam, sekali gus perhatian yang tinggi ke atas dasar luar Malaysia.

Persoalan mengenai kebangkitan Islam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Komanwel, krisis ekonomi serta jurang penguasaan negara maju dengan negara sedang membangun yang ketara menjadi tumpuan dasar luar Malaysia pada zamannya.

Pengarang melihat Tun Dr. Mahathir mempelopori beberapa perubahan drastik dalam pelaksanaan dasar luar iaitu tidak sekadar refleksi daripada situasi dan kedudukan antarabangsa, tetapi menggambarkan pendekatan proaktifnya dalam menangani isu-isu semasa khususnya yang berkaitan dengan kepentingan negara dunia ketiga dan negara-negara Islam.

Dasar luar Malaysia di zaman Abdullah dari 2003-2005 (penyelidikan pengarang hingga 2005) pula disifatkan telah melalui proses evolusi yang dinamik. Perdana Menteri kelima itu meneruskan kesinambungan dasar luar Malaysia era Perdana Menteri sebelumnya di samping memperhalusi dan mengukuhkan dasar luar sedia ada.

Menurut pengarang, walaupun dasar luar yang diamalkan Abdullah masih sama namun pendekatan yang digunakan bagi menyampaikan aspirasi nasional di arena antarabangsa agak berbeza bersesuaian dengan keperibadian beliau yang agak sederhana.

Walaupun baru beberapa tahun memegang teraju pemerintahan negara, tetapi apabila menyatakan pendirian terhadap sesuatu isu dasar luar beliau telah mempamerkan kematangan, ketelusan dan sikap yang pragmatik, jelas pengarang.

Buku ini sesuai digunakan sebagai bahan bacaan dan rujukan penting para peminat mengenai dasar luar Malaysia yang dipengaruhi dan diwarnai oleh lima Perdana Menteri.

Judul: Perdana Menteri dan Dasar Luar Malaysia 1957-2005

Pengarang: Faridah Jaafar

Penerbit: Penerbit Universiti Malaya

Tahun: 2007

Pengulas: MOHD. YAHYA MOHAMED ARIFFIN

→ No CommentsTags: 1

Print This Post Print This Post
1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading ... Loading ...

Kenapa peduli soal membaca?

November 19th, 2007 · No Comments · 102 views

Oleh Khairusy Syakirin Has-Yun Hashim

ANTARA persoalan yang sering disoal oleh sahabat-sahabat penulis, mengapa perlu ambil peduli terhadap masalah membaca dalam masyarakat kita? Bukankah Malaysia sudah hampir pulih daripada masalah buta huruf? Bukankah masyarakat sudah banyak membaca?

Jadi, apa masalahnya?

Mengapa perlu ambil peduli jika semua jawapan di atas telah terjawab? Bagi penulis, jawapan yang betul belum lagi terbukti benar. Apa alasannya?

Alasannya banyak. Antaranya masalah sosial yang berlaku.

Ada pula yang mengatakan, masalah sosial bukannya masalah hasil daripada tidak membaca. Malah, masyarakat Barat yang terlalu banyak membaca pun mempunyai banyak masalah dalam masyarakatnya sendiri.

Jadi, tentunya ada yang masih tidak kena. Pada penulis, mungkin kerana hasil pembacaan itu tidak berkualiti. Banyak membaca ‘sampah’ daripada ilmu.

Penulis kutip sekali lagi kata-kata Datuk Hassan Ahmad ketika merasmikan Kelab Buku Kanak-Kanak Dewan Bahasa dan Pustaka pada 14 Julai 1979, bahawa bukan semua bahan bacaan boleh menjadikan sesebuah bangsa itu maju.

Bahan bacaan perlu dipilih “…membaca bahan-bahan yang sesuai dan bermutu adalah penting bagi perkembangan mental, perkembangan intelek individu.”

Maknanya, pembacaan yang berkualiti adalah membaca bahan-bahan bacaan yang terpilih. Yang berilmu. Kerana dengan ilmulah, sesebuah masyarakat itu akan memilih kebenaran, dalam erti kata yang sebenarnya.

Sempurna

Memetik tulisan Syed Muhammad Naquib Al-Attas di dalam bukunya Risalah untuk Kaum Muslimin:

Plato pernah menarik perhatian dengan menyatakan bahawa untuk seseorang menjalankan tugasnya dengan sempurna dalam sesuatu bidang kehidupan maka perlulah dia mempunyai ilmu yang lengkap pula mengenai bidang itu.

Ilmu pula boleh didapati daripada pelbagai sumber. Ya, memang benar, ilmu bukan sekadar boleh didapati dari pembacaan, malah Elbert Einstein mendapat idea tentang graviti daripada pemerhatian beliau terhadap sebiji buah epal yang jatuh dari pokok. Malah, dari al-Quran umum mengetahui bahawa Allah menurunkan ilmu melalui pelbagai bentuk, misalnya melalui binatang seperti yang diterangkan di dalam al- Quran, surah Al-Nahl (lebah).

Namun begitu, ilmu tanpa amal, lantas ilmu tanpa dicatat tiada gunanya kepada manusia. Kerana ilmu perlu diguna, dan seterusnya ilmu-ilmu baru muncul lalu perlu pula evolusi ilmu-ilmu itu dicatat, ditulis lalu dijadikan buku.

Tamadun-tamadun silam, seperti tamadun Greek dahulu banyak meninggalkan ilmu yang kemudiannya disambung dan ‘diperbetulkan’ oleh peradaban Islam. Catatan-catatan cerdik pandai Greek pula pada ketika itu banyak ditulis dan dihasilkan di atas helaian- helaian kertas yang digulung. Perpustakaan dibina untuk menyimpan hasil-hasil ilmu tersebut. Namun bukan semua ilmu itu terselamat daripada malapetaka. Ada yang hilang, terbakar, dibakar dan sebagainya.

Peradaban

Namun, ilmu-ilmu yang terselamat itu semestinya adalah yang ditulis. Lantas, peradaban yang datang kemudian adalah hasil daripada pembacaan buku-buku dari peradaban silam. Andai dapat dibayangkan sekiranya buku tidak wujud. Kertas dan pena tidak digunakan, apa yang bakal terjadi kepada manusia pada peradaban yang seterusnya. Inilah yang seharusnya kita pedulikan.

Perlu peduli tentang gerakan membaca dalam sesebuah masyarakat. Masyarakat yang terputus dengan amalan membaca, pastinya adalah sebuah masyarakat yang mundur ilmu dan pemikirannya. Sekiranya membaca tidak penting, mengapa al-Quran sendiri menyeru umat manusia untuk membaca?

Untuk mendapat ilmu, hasil pembacaan itu sendiri perlulah yang bermutu. Bukan sekadar membaca daripada tulisan akademik, malah hasil-hasil fiksyen juga memainkan peranan. Tetapi setakat mana pula kualiti fiksyen yang perlu dihasilkan?

Misalnya merenung kembali tulisan Asimov, bukan sekadar melayani pemikiran fiksyennya, sebaliknya ia merupakan hasil daripada kajian dan idea beliau sendiri. Prof. Asimov, merupakan seorang Profesor kimia, telah banyak menghasilkan karya-karya sains fiksyen, yang kemudiannya telah menerajui sains NASA. Kerana kreativiti yang terancang melalui karya fiksyen adalah antara yang terbaik dan mudah difahami, dan untuk mengubah perangai masyarakat adalah melalui karya fiksyen.

Gerakan membaca perlu diteruskan. Pelbagai media perlu digunakan sepenuhnya. Perancangan masa hadapan yang lebih terperinci perlu digarap dan dilaksanakan. Semua pihak perlu diinsafkan apa yang akan berlaku kepada masyarakat yang tidak membaca. Semuanya ini memerlukan komitmen yang tinggi. Dan seharusnya kita perlu ambil peduli.

* KHAIRUSY SYAKIRIN HAS-YUN HASHIM ialah Setiausaha Agung, Komuniti Bukuonline.org.

→ No CommentsTags: 1

Print This Post Print This Post
1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading ... Loading ...

Jeniri jadi kaya dengan menulis

November 19th, 2007 · No Comments · 101 views

Oleh ROOSFA HASHIM

TIDAK ramai penulis dengan berani mengakui mereka mendapat banyak duit dengan menulis. Ada penulis berselindung di sebalik beberapa nama pena bagi mengelak orang lain mengetahui mereka kaya dengan menulis.

Ada juga yang menulis, menerbitkan dan menjual sendiri karya bagi menjamin mereka mendapat untung sepenuhnya tanpa berkongsi dengan penerbit dan pengedar buku.

Jeniri Amir, penulis prolifik dari Sarawak antara sejumlah kecil penulis yang selalu bersedia berkongsi pengalaman peribadinya menulis dan hidup selesa sebagai penulis. Dalam masa dua puluh tahun, Jeniri telah menulis hampir seratus judul buku dan beratus-ratus rencana untuk akhbar dan majalah. Beliau diberi anugerah dalam kategori penulis Malaysia paling prolifik melalui Anugerah Buku Malaysia 2005, selain mendapat hadiah dalam Anugerah Buku Unimas 2007.

Mengenali Jeniri dengan lebih rapat, bekas guru, wartawan dan kini pensyarah bidang komunikasi di Universiti Malaysia Sarawak ini memang rajin menulis dan mendapat banyak wang dengan menulis. Beliau ‘gila’ membeli buku. Pejabatnya di Unimas cuma tinggal ruang kecil untuk pelajar datang mendapatkan nasihat dan rundingan. Di rumah dua tingkatnya, di Kampung Pinang Jawa, Petrajaya juga ada sebuah kamar besar yang sarat dengan buku.

Melihat keadaan rumahnya, kenderaan yang dipandunya dan cara hidupnya, dapatlah disimpulkan Jeniri memang buat duit dengan menulis buku, atau menghabiskan duit dengan membeli buku.

Jeniri menghabiskan hari-hari cutinya dengan menulis. “Nilai baki cuti tahunan kalau ditukar dengan wang selepas bersara tidak sebesar mana pun, lebih baik digunakan untuk menulis, pulangannya lebih besar bukan sahaja kepada penulis tetapi besar juga manfaatnya kepada pembaca,” jelas Jeniri bagaimana beliau memanipulasi cuti rehat tahunannya untuk menulis.

Beliau tidak mencuci keretanya sendiri, sebaliknya ‘menyimpan’ tenaganya untuk menulis. Tenaganya ditambah pula dengan membeli pil vitamin dan tenaga tambahan untuk tetap segar bila menulis. “Upah mencuci kereta tak seberapa. Itu rezeki budak-budak pencuci kereta. Masa dan tenaga mencuci kereta kalau digunakan untuk menulis, pulangannya lebih besar,” kata Jeniri itu memang ada kebenarannya.

Beliau menulis banyak buku tentang penulisan dan tidak ketinggalan mengajak kita semua menulis untuk wang. Sebelum ini beliau menerbitkan buku berjudul Buat Duit Dengan Menulis yang mendapat sambutan besar dan telah diulang cetak. Terbaru Jeniri muncul dengan bukunya Menulis Buku: Cara Lain Dapatkan Wang Besar.

Dengan gaya bahasanya yang bertenaga Jeniri mengajak kita semua mengaut sebanyak-banyaknya wang besar dengan menulis buku yang orang lain mahu membacanya. Justeru, kita mesti mula mengasah kemahiran menulis kerana tidak semua dianugerahkan bakat menulis.

Dalam apa juga profesion dan kerjaya, disiplin adalah perkara utama. Demikian juga dengan penulisan kita mesti mendisiplinkan diri dengan pelbagai perkara daripada mengaturkan masa hinggalah memaksa diri membaca karya orang lain, merujuk kamus dan daftar ejaan, mengunjungi kedai dan pesta buku selain kerap ke perpustakaan.

Pilihlah genre yang kita minati dan akrab dengannya. Kita boleh saja menulis pelbagai karya kreatif dan popular termasuk novel, cerpen dan puisi hinggalah ke buku umum, buku teks atau ulasan politik. Tuah ayam nampak di kaki, tuah penulis pada royalti.

Justeru, perlulah kita membaca dan membuat rujukan, memerah otak mencari ilham dan idea dan menjawab soalan paling asas; mahu tulis apa? Bagaimana kaedah menulis yang paling berkesan? Bagaimana merangka dan mengajukan cadangan penulisan yang dapat meyakinkan penerbit dan editor? Bertolaklah dengan mula mengetahui dan mengenali pelbagai aspek dalam penerbitan buku.

Setelah tetap dengan apa yang ingin ditulis dan mula mengumpulkan bahan dan idea, mulakan dengan menyusunnya dan memikirkan tajuk yang baik, judul yang memikat. Dengan bantuan artis grafik, judul itu dipadankan dengan ilustrasi yang tepat sehingga menjadikan kulitnya cukup menawan dan menggoda pembaca membelinya.

Bagi menghidupkan tulisan, Jeniri memberikan beberapa pedoman antaranya menerapkan angka dan statistik, menyelitkan contoh dan memasukkan kutipan. Dalam karya kreatif, ada pelbagai cara memberikan nyawa kepada watak dan ada pula kaedah melukis watak agar menggerakkan minda pembaca. Penulis mesti cekap menyerlahkan sesuatu bau, bunyi, rasa – marah, sedih, kecewa, gembira.

Memang, bagi penulis yang baru, mereka boleh saja tersesat dan hilang punca apabila menulis. Bagaimana memulakan ayat pertama, menyusun perenggan dan menamatkan penulisan? Jeniri menunjukkan bagaimana kita dapat menganyam pelbagai fakta dan maklumat yang ada, membina tarikan pada fakta yang dibentangkan menggunakan pelbagai pendekatan. Semuanya menuntut kreativiti penulisnya dalam memilih kata yang paling tepat.

Beberapa pedoman perlu dipegang apabila menulis misalnya menulis ayat yang pendek dan mudah dan bukan ayat yang kompleks. Pengalaman membaca amat penting diterapkan apabila kita menulis dan daripada sinilah kita dapat memperlihatkan kekayaan dan kepelbagaian perbendaharaan kata yang kita bina daripada pembacaan yang banyak.

Demikianlah Jeniri menuangkan pengalamannya dalam buku ini. Demi memperbanyak terbitan buku di negara ini, Jeniri menerbitkan buku ini untuk dijadikan pedoman bagi semua bakal penulis.

* ROOSFA HASHIM, Pensyarah di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia.

→ No CommentsTags: 1

Print This Post Print This Post
1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading ... Loading ...

Kecemerlangan bukan sekadar di sekolah asrama penuh

November 19th, 2007 · No Comments · 195 views

KITA berharap ibu bapa yang mempunyai anak mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini akan memahami hakikat, bahawa tempat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sebenarnya terhad dan tidak dapat menampung sebahagian besar daripada lebih 48,000 murid mendapat 5A. Keputusan cemerlang dalam akademik bukan jaminan bagi mereka diterima masuk ke sekolah berasrama penuh. Bagi memenuhi tuntutan sebagai insan mulia dan mempunyai sahsiah tinggi, murid juga harus menunjukkan kecemerlangan dalam bidang kokurikulum. Syarat ditetapkan meliputi calon warga negara Malaysia dan terdiri daripada pelajar sekolah kebangsaan saja, berminat memasuki SBP, aktif dalam kokurikulum, mencapai 5A atau 4A 1B dalam UPSR 2007 (Matematik dan Sains mesti Gred A), dicalonkan Jawatankuasa Pencalonan Peringkat Sekolah dan disahkan Jawatankuasa Pengesahan Pencalonan. Ketika permohonan ditutup 30 Oktober lalu, Kementerian Pelajaran menerima 98,500 permohonan ke SBP, iaitu rekod tertinggi pernah diterima. Namun, kerana tempat terhad, hanya 6,000 pelajar ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Satu di SBP di seluruh negara.

Walaupun minat pelajar dan ibu bapa ini menunjukkan keyakinan tinggi terhadap SBP, mereka harus menerima hakikat kejayaan sebenar anak bukan terletak pada sekolah semata-mata, tetapi pada diri murid itu sendiri serta sokongan keluarga. Ini bermakna jika murid itu tekun dan menumpukan perhatian kepada pelajaran serta mempunyai azam yang tinggi untuk maju, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) pun sudah memadai. Lihat saja di sekeliling kita, begitu ramai orang berjaya tidak semuanya mendapat pendidikan menengah di SBP. Sekolah adalah tempat pelajar menimba ilmu dan mendapat tunjuk ajar sebelum menghadapi peperiksaan. Apa yang penting ialah disiplin diri untuk mendapat kejayaan dalam pendidikan dan azam kuat yang mendorongnya untuk memperoleh keputusan cemerlang. Malah, cabaran di SMK adalah lebih hebat memandangkan bilangan pelajar lebih ramai dan latar belakang pendidikan yang berbeza. Selain SBP, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) juga turut menjadi sasaran utama pelajar dan ibu bapa, namun keadaannya juga sama kerana tempatnya yang terhad.

Memandangkan kecenderungan yang tinggi di kalangan pelajar dan ibu bapa untuk ke SBP dan MRSM, adalah wajar Kementerian Pelajaran mengambil langkah membaiki mutu pendidikan di SMK dengan mewujudkan kelas khas yang mungkin boleh menempatkan pelajar cemerlang ini. Selain memberi peluang kepada mereka bersaing sesama sendiri, guru juga boleh merangka strategi agar mereka mendapat layanan seperti diperoleh pelajar di SBP atau MRSM. Di samping itu, sebagai langkah merapatkan jurang antara pelajar cemerlang dengan yang kurang cemerlang, sekolah juga boleh melaksanakan program mentor-mentee bagi pelajar tidak bermasalah dari segi disiplin yang ingin meningkatkan kemampuan mereka dalam bidang akademik. Selain itu, dari segi jangka panjang, pihak kementerian perlu juga melihat kepada kemungkinan mewujudkan lebih banyak SBP dan MRSM di seluruh negara bagi menampung pelajar cemerlang yang meningkat setiap tahun. Apapun, kita berharap pencapaian pelajar kita akan terus mencatat kecemerlangan tidak kira sama ada mereka belajar di SBP mahupun di SMK yang tidak kurang hebatnya dari segi prestasi akademik.

→ No CommentsTags: 1

Print This Post Print This Post
1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading ... Loading ...

Masa depan akhbar berbahasa Melayu perlu dipertahan

November 19th, 2007 · No Comments · 133 views

Pendapat
APAKAH nasib media berbahasa Melayu pada masa akan datang? Mengapa sebahagian besar orang Melayu kini semakin meninggalkan bahan bacaan dalam bahasanya sendiri?

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada 16 November lalu ternyata bimbang dengan perkembangan mutakhir yang menyaksikan kemerosotan minat kaum Melayu membaca bahan dalam bahasa Melayu. Fenomena ini dapat dilihat pada kuantiti jualan dan budaya membaca akhbar berbahasa Melayu yang kian tidak menggalakkan.

Laporan syarikat penyelidik media AC Nielsen bagi tempoh Julai 2006 hingga Jun tahun ini menunjukkan hanya 44 peratus orang Melayu berusia 15 tahun ke atas membaca akhbar perdana berbahasa Melayu. Berbeza dengan kaum Cina, dianggarkan 64 peratus daripada mereka membaca akhbar berbahasa Cina.

Perkembangan yang membimbangkan masa depan penerbitan akhbar berbahasa Melayu yang dialami sekarang tidak keterlaluan berpunca daripada perubahan dasar yang mulai berlaku sejak lima tahun kebelakangan ini.

Perubahan bahasa pengantar dari bahasa kebangsaan kepada bahasa Inggeris dalam pengajaran bagi sebahagian mata pelajaran di sekolah mahupun di universiti menyumbang kepada ’kepupusan’ pembaca penerbitan berbahasa Melayu.

Bukan sedikit keluarga Melayu kini hanya membeli dan membaca akhbar berbahasa Inggeris lantaran mahu anak- anak mereka menguasai bahasa tersebut. Malangnya, peminggiran bahan berbahasa Melayu ini tidak pula berlaku di kalangan komuniti Cina walaupun umum mengetahui mereka lebih terdedah kepada penguasaan bahasa Inggeris.

Budaya tidak suka membaca di kalangan sebahagian orang Melayu diburukkan lagi dengan kempen galakan membaca akhbar dalam bahasa Inggeris yang mendapat liputan media dan ditaja oleh banyak pihak bagi tujuan penguasaan bahasa tersebut.

Ledakan teknologi maklumat juga membolehkan masyarakat membaca akhbar secara percuma selain pelbagai pilihan sumber portal berita sama ada dari kategori arus perdana mahupun bukan. Namun, untuk menganggap penurunan edaran jualan akhbar berbahasa Melayu yang dapat menjadi penanda aras kepada kemerosotan membaca bahan dalam bahasa Melayu disebabkan oleh perkembangan Internet juga tidak tepat seratus peratus.

Ini kerana budaya suka bersantai dan berhibur semakin kuat mencengkam generasi muda Melayu kini. Kecanggihan dunia Internet lebih banyak diguna untuk bermain permainan komputer serta memuat turun lagu, filem dan nada dering telefon bimbit yang terkini.

Konsep sahabat pena yang berasaskan layangan surat telah mengalami transformasi kepada budaya menjalin hubungan ‘kenalan maya’ Laman seperti Friendster dan MySpace berjaya mengalih perhatian generasi muda terutamanya daripada memerah otak untuk membaca apatah lagi menganalisis laporan atau maklumat yang terpapar dalam laman sesawang akhbar.

Pendek kata, sukar untuk kita melihat generasi muda yang memiliki akses Internet melayari akhbar online sebagai rutin mereka setiap hari lantaran sibuk ‘berkenal-kenalan’ dan mencari klip video lagu atau filem.

Perlu diingat ratusan ribu generasi pelajar sekarang merupakan calon pembaca akhbar pada masa depan. Murid-murid yang masuk darjah 1 pada tahun 2003 lalu akan meninggalkan bangku persekolahan pada tahun 2013. Selepas mereka selesai menyambung pengajian tinggi dalam anggaran beberapa tahun, sebahagian daripada mereka akan menjadi pembeli atau pembaca akhbar walaupun tidak dinafikan segelintir daripada mereka telah mengikuti perkembangan berita dan maklumat melalui akhbar sepanjang proses pendidikan mereka.

Jelas, dasar pendidikan negara faktor penentu hala tuju dan kelangsungan penerbitan berbahasa Melayu. Tidak dinafikan juga, kemerosotan pembaca akhbar berbahasa Melayu akan mempengaruhi tahap kestabilan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Bukankah kita telah mengakui bahawa bahasa kebangsaan adalah alat penyatuan dan pengukuh perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini? Jika pada masa sekarang pun, orang Melayu semakin payah membaca akhbar dalam bahasanya sendiri apatah lagi bagi kaum-kaum lain.

Ada baiknya, budaya progresif masyarakat keturunan Tionghua dicontohi oleh orang Melayu yang tetap tidak melupakan akhbar dalam bahasa mereka walaupun kedudukan ekonomi dan penguasaan bahasa asing mereka secara umumnya lebih baik daripada orang Melayu.

– MOHD. ARIF ATAN,

Universiti Malaya.

→ No CommentsTags: 1

Print This Post Print This Post
1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading ... Loading ...

Asean bakal bentuk identiti sendiri

November 19th, 2007 · No Comments · 184 views

Oleh Mutazar Abd Ghani

Pemeteraian piagam bolehkan 10 negara guna satu mekanisme perundangan

PERSIDANGAN Kemuncak Asean ke-13 dan beberapa mesyuarat berkaitan yang bermula di Singapura hari ini hingga Khamis, sekali lagi menemukan 10 pemimpin Asean bagi membincang dan bertukar pandangan, sekali gus membuat keputusan berhubung hala tuju serta memacu kesatuan serantau itu dalam berdepan cabaran abad ke-21, terutama ke arah meletakkannya sebagai organisasi disegani.

Sidang kemuncak tahun ini yang bertemakan ‘Asean Tunggal di Tengah-Tengah Asia yang Dinamik’ dijangka memberikan tumpuan terhadap isu tenaga, alam sekitar, perubahan iklim dan pembangunan mapan, yang bakal diketengahkan Singapura selaku tuan rumah.

Penonjolan isu berkenaan pada sidang kali ini memang tepat pada masanya memandangkan isu seperti perubahan iklim dan persekitaran yang kian mendapat perhatian seluruh dunia hasil pembangunan berterusan dalam era globalisasi, yang mana sekiranya ia tidak dikawal, sudah tentu memudaratkan bukan saja untuk generasi akan datang, malah generasi masa kini.

Begitu juga dengan peningkatan ketara harga bahan api global, terutama minyak yang mana baru-baru ini harganya mencecah hampir AS$100 setong, turut membimbangkan negara seluruh dunia, termasuk Asean, walaupun ada negara Asean yang juga pengeluar minyak. Sekiranya harga minyak kekal pada tahap sekarang (melebihi AS$90 setong) atau mungkin meningkat lagi pada masa depan, ia pasti meninggalkan banyak impak negatif terhadap negara serta rakyat, khususnya dari segi kenaikan kos pengeluaran dan harga barang.

Justeru, langkah segera dan berkesan amat ditagih dalam usaha mencari tenaga alternatif kepada minyak dan sidang kemuncak kali ini adalah medan terbaik untuk pemimpin Asean berbincang serta mencari penyelesaian jangka panjang kepada masalah itu, termasuk memajukan bahan api alternatif seperti biodiesel atau biofuel yang kini dipelopori Malaysia.

Isu pembangunan mapan pula diketengahkan tuan rumah berikutan wujudkan pembangunan yang tidak sekata di kalangan negara anggota. Justeru, beberapa mesyuarat berkaitan sempena sidang kemuncak kali ini mampu menjana idea ke arah mewujudkan pembangunan yang lebih seimbang, sekali gus merapatkan jurang antara negara Asean baru dan lama.

Antara mesyuarat berkaitan yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Asean kali ini ialah Sidang Kemuncak ke-11 Asean + 3; Sidang Kemuncak ke-11 Asean + 1 bersama China; Sidang Kemuncak ke-11 Asean + 1 bersama Jepun dan Sidang Kemuncak ke-11 Asean + 1 bersama Korea Selatan.

Turut diadakan ialah Sidang Kemuncak ke-6 Asean-India dan Sidang Kemuncak ke-3 Asia Timur (EAS), selain dua sidang kemuncak sub-serantau iaitu Sidang Kemuncak ke-4 Kawasan Pertumbuhan Timur Asean-Brunei (BIMP-EAGA) dan Sidang Kemuncak ke-3 Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMTGT). Sebagai tambahan, Sidang Kemuncak Memperingati Asean-Kesatuan Eropah (EU) akan turut diadakan bagi memperingati 30 tahun hubungan dialog kedua-dua kesatuan terbabit.

Namun, apa yang lebih bermakna pada sidang kemuncak tahun ini ialah sejarah yang bakal dicatatkan organisasi berusia 40 tahun itu apabila Ketua Negara - Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam dijangka melulus serta memeterai satu Piagam Asean, yang deklarasinya bermula di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Pemeteraian piagam itu adalah satu detik bersejarah kerana ia akan memberikan identiti perundangan kepada perkumpulan serantau yang meraikan ulang tahun ke-40 penubuhannya tahun ini. Piagam itu membolehkan Asean menggunakan satu mekanisme perundangan bagi membolehkannya bertindak atau menguatkuasakan sesuatu keputusan.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata Piagam Asean adalah perkara paling penting untuk dibincangkan pada sidang kemuncak kali ini dan Malaysia melihat perkara itu dari sudut optimistik.

“Pada mulanya, ketika Malaysia mula-mula mencadangkan perkara ini pada Sidang Kemuncak ke-11 di Kuala Lumpur, kita tidak dapat membayangkan ia akan dapat mencetuskan pandangan positif daripada negara anggota yang lain. Kita berasakan sudah sampai masanya, Asean mempunyai piagamnya yang tersendiri dan ia kini bukan hanya satu kemungkinan, tetapi akan menjadi realiti di Singapura nanti,” katanya.

Menerusi piagam itu, beliau berkata, segala perkara yang kabur serta kurang jelas di kalangan negara anggota akan boleh dirujuk kepadanya, justeru, ia akan mengubah keadaan dalam Asean itu sendiri daripada pesimistik kepada optimistik.

Katanya, bentuk piagam itu bergantung pada Ketua Negara Asean yang akan bersidang pada sidang kemuncak kali ini dan mereka yang akan memberikan keputusan muktamad.

“Bagaimanapun, saya yakin sekiranya piagam ini dapat dibentuk di Singapura, dunia akan bertambah yakin dengan keupayaan dan kelangsungan Asean untuk mencapai penyatuan, kerana kita bersatu hati membentuk satu piagam yang sebenarnya, amat sukar jika tiada kesepakatan antara negara anggota.

“Malaysia berharap apabila piagam ini dapat dibentuk, kita akan dapat membabitkan masyarakat negara anggota Asean sebagai contoh, kakitangan awam. Kita tidak mahu Asean bergerak sebagai pertubuhan bersifat kerajaan atau menjadi pertubuhan elit, sedangkan rakyat semua negara anggota perlu merasai pertubuhan ini,” katanya.

Satu lagi peristiwa bersejarah yang bakal dicatat pada sidang kemuncak kali ini ialah ia diadakan sempena ulang tahun ke-40 penubuhan Asean. Ini sekali gus, menunjukkan Asean kini bergerak ke arah kesepaduan untuk melahirkan komuniti Asean berteras kepada tiga tonggak iaitu politik/keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.

Penonjolan Asean juga kini diterima sebagai satu organisasi serantau dan masyarakat antarabangsa mengakui bahawa Asean adalah sebagai pertubuhan rantau yang berjaya, dengan manfaat dan keuntungannya dapat dinikmati kira-kira 560 juta penduduknya.

Pada sidang di Singapura ini, negara anggota Asean juga akan memeterai ‘pelan induk ekonomi’ dan ia usaha untuk mencapai misi Asean maju pada 2020.

Selain agenda yang dirancang, ada juga kemungkinan pihak tertentu akan ‘menyentuh’ isu yang masih hangat membabitkan satu daripada anggota Asean iaitu Myanmar, berhubung tindakan tegas pemerintah junta tentera itu terhadap penunjuk perasaan antikerajaan di negara itu, baru-baru ini.

Walaupun kebanyakan negara anggota, termasuk Malaysia berharap isu Myanmar akan reda pada sidang kemuncak kali ini dan tidak menjadi tumpuan, ia tidak dapat dielakkan untuk dibincangkan di kalangan Ketua Negara Asean, tambahan pula dunia sedang melihat kepada pendirian yang bakal dibuat Asean pada sidang kali ini.

Di pihak tuan rumah sendiri, mereka sudah mengambil langkah untuk melaksanakan undang-undang tegas yang melarang bantahan umum ketika pemimpin serantau bermesyuarat di republik itu, termasuk mengharamkan perhimpunan awam melebihi lima orang atau lebih tanpa mendapat permit. Ia sebagai amaran terhadap pihak yang merancang mengadakan protes anti-Myanmar sepanjang Sidang Kemuncak kali ini berlangsung.

Bagi pihak Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi mengetuai delegasi ke sidang kemuncak serantau itu kali ini, sambil disertai isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah. Kedua-dua mereka diiringi Syed Hamid, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan pegawai kanan kerajaan.

Esok, Abdullah dijadual menyertai rakan sejawatannya dari Asean dalam majlis bersejarah untuk memeterai Piagam Asean, yang akan memberikan identiti perundangan kepada perkumpulan serantau yang dianggotai 10 negara itu.

Pada mesyuarat berkaitan Asean itu, pemimpin terbabit dijangka memeterai beberapa dokumen. Ia termasuk, Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi Asean, Deklarasi Pemimpin Asean mengenai Pengekalan Alam Sekitar, dan Deklarasi Singapura mengenai Perubahan Iklim, Tenaga dan Alam Sekitar yang akan turut dimeterai pemimpin Sidang Kemuncak EAS.

INFO
Sidang Kemuncak Asean ke-13

  • Bertemakan ‘Asean Tunggal di Tengah-Tengah Asia yang Dinamik’.
  • Dijangka memberikan tumpuan terhadap isu tenaga, alam sekitar, perubahan iklim dan pembangunan mapan.
  • Dijangka diluluskan serta dimeterai satu Piagam Asean, yang deklarasinya bermula di Kuala Lumpur dua tahun lalu.
  • Pemeteraian Piagam Asean memberikan identiti perundangan kepada perkumpulan serantau.
  • Satu lagi peristiwa bersejarah bakal dicatat ialah ia diadakan sempena ulang tahun ke-40 penubuhan Asean.
  • ‘Pelan induk ekonomi’ dijangka dimeterai dan ia usaha mencapai misi Asean maju pada 2020.
  • → No CommentsTags: 1

    Print This Post Print This Post
    1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
    Loading ... Loading ...

    Laporan Khas: Nurseri tempat kerja erat kasih sayang

    November 19th, 2007 · No Comments · 138 views

    Oleh Azrul Affandi Sobry



    NURSERI DI PEJABAT: Taman Asuhan Suruhanjaya Sekuriti (Tassek) di Bukit Kiara memudahkan pekerja mendekati anak mereka.

    Langkah terbaik ibu bapa berkerjaya hadapi masalah hantar anak ke pusat jagaan

    MALAYSIA sedang bergerak pantas untuk dikategorikan sebagai negara maju menjelang 2020 dan dalam proses itu, setiap lapisan masyarakat menjadi sandaran utama menunjangi setiap sektor sama ada melalui agensi kerajaan mahupun di sektor swasta.

    Pembabitan lebih ramai wanita juga membuktikan negara kini berada pada landasan tepat menggunakan semua aset yang ada untuk merealisasikan matlamat itu, malah pada masa sama kerajaan melaungkan hasrat melahirkan modal insan bertaraf dunia melalui Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

    Namun, di sebalik semua itu, ramai yang terlupa dalam usaha membentuk modal insan seperti acuan yang dikehendaki, perkara asas yang perlu diberi keutamaan adalah pembentukan institusi keluarga yang berkualiti. Ia hanya boleh direalisasikan jika ibu bapa menjalankan peranan dengan sebaiknya.

    Justeru, apabila direnung dan ditimbang, adakah institusi keluarga di negara ini benar-benar kukuh kerana dalam kesibukan mengejar kemajuan, hampir semua individu dewasa termasuk tiga perempat wanita sibuk dengan kerjaya sehingga aspek penjagaan anak diabaikan.

    Masalahnya, itu bukan kehendak mereka. Jika diselami hati semua wanita di negara ini pastinya mereka akan menangisi kesuntukan masa yang dapat diluangkan bersama anak, malah mungkin ada yang terpaksa melepaskan tanggungjawab itu kepada pihak ketiga.

    Lihat saja senario masyarakat kita. Bangun pagi, suami isteri tergesa-gesa mempersiapkan diri dan kelengkapan anak untuk dihantar ke pusat penjagaan berhampiran dengan rumah. Lapan hingga sembilan jam di tempat kerja, perihal anak terpaksa tidak diendahkan.

    Pulang ke rumah apabila matahari sudah tenggelam. Sampai ke rumah, sibuk pula dengan urusan itu dan ini, sudahnya anak terlena sendiri.

    Ia perkara dianggap biasa sedangkan menurut pakar psikologi tempoh kritikal ketika anak perlu menerima pendidikan dan kasih sayang terbaik ialah sejak lahir hingga berusia tiga tahun. Berapa ramaikah ibu yang mampu menyusukan anak atau sekurang-kurangnya mengambil tahu apa yang anak lakukan sepanjang hari. Semuanya kerana anak dihantar jauh dari tempat ibu bapa bekerja.

    Justeru, wajarlah apabila kajian yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan hampir 50 peratus daripada wanita bekerja menuntut supaya diwujudkan pusat penjagaan anak atau nurseri di tempat kerja mereka.

    Alasannya cukup mudah tetapi amat munasabah. Kebanyakannya memberi alasan ia dapat memudahkan mereka menyusukan anak apabila ada masa terluang. Soal keselamatan anak juga diyakini kerana hampir dengan mereka, kos lebih murah kerana mungkin ada subsidi daripada majikan dan kualiti pendidikan lebih terjamin kerana pastinya dikendalikan oleh pengasuh berkemahiran serta terlatih.

    Semua alasan itu adalah isu utama yang sering menjadi gangguan sehingga mampu menjejaskan prestasi kerja mereka yang berkeluarga. Manakan tidak, apabila saban masa asyik memikirkan keadaan anak, pastinya sedikit sebanyak kekacauan akan menjentik jiwa dan sudahnya, kualiti kerja jatuh merudum.

    Bagi golongan berkemampuan, mungkin ia tidak begitu menjadi masalah besar kerana mampu membayar kos tinggi kepada nurseri bertaraf lima bintang yang pastinya lebih terjamin kualiti dalam pelbagai aspek. Namun, apa nasibnya bagi yang kurang berada dan anak kecil pula bersusun ramainya. Pasti lebih memeningkan kepala.

    Pilihan terakhir bagi golongan ini ialah menghantar anak kepada sebarang orang yang sanggup menjaga anak mereka dengan kos lebih murah. Kenal atau tidak bukan soalnya. Apa yang penting anak mereka ada penjaga. Lantaran itulah banyak kes membabitkan pengasuh tidak berlesen terpampang di dada akhbar dari masa ke semasa.

    Jawapan kepada semua persoalan ini tidak lain tidak bukan ialah kerajaan perlu membuka mata mencari jalan penyelesaian seperti memberi insentif kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan mahupun swasta untuk membantu mereka mewujudkan nurseri di tempat kerja.

    Sekurang-kurangnya, dengan ada nurseri itu, pastinya banyak perkara dapat diselesai atau dikurangkan. Isu pekerja kerap mengambil cuti kecemasan kerana anak tidak sihat pasti selesai kerana anak kini dekat dengan ibu bapanya.

    Saranan supaya ibu mengutamakan susuan badan juga dapat dicapai kerana tiada alasan lagi bagi ibu tidak menyusukan anaknya dengan lebih kerap.

    Rumusannya, jika kerajaan serius mahu melihat generasi kecil yang bakal menjadi pewaris kepemimpinan negara pada satu hari nanti benar-benar berkualiti, janganlah biarkan isu penjagaan anak menjadi bom jangka yang sudahnya akan melahirkan lebih ramai ‘hantu’ di kalangan remaja lantaran tidak mendapat bimbingan yang sewajarnya.

    Sementara itu, Pengurus Jabatan Pengurusan Pelaburan Tabung Amanah Suruhanjaya Sekuriti (SC), Shahrin Shaikh Mohd ketika menceritakan faedah diperolehnya apabila SC membuka Taman Asuhan Suruhanjaya Sekuriti (Tassek) di tempat kerjanya di Bukit Kiara.

    “Saya tidak perlu risau lagi mengenai keselamatan anak dan boleh meluangkan lebih banyak masa bersamanya. Kini, saya dapat memberi lebih tumpuan kepada kerja kerana masalah penjagaan anak bukan lagi isu besar yang boleh mengganggu kerjaya saya.

    “Jika dibandingkan dengan rakan lain yang tidak mempunyai nurseri di tempat kerja, ternyata banyak masalah yang kerap mereka hadapi. Kadangkala terpaksa berkejar ke sana sini untuk menguruskan hal anak, malah masalah lebih rumit sekiranya tiba-tiba mendapat makluman yang anak tidak sihat,” katanya.

    Katanya, kemudahan disediakan di Tassek itu membolehkan pekerja menarik nafas lega kerana soal keselamatan anak kini lebih terjamin, malah banyak masa dapat dijimatkan berbanding sebelum ini, apabila mereka terpaksa bersiap lebih awal kerana terpaksa menguruskan anak untuk dihantar ke tempat lain.

    Pembantu Pegawai Penguatkuasa, Nur Katherina Cheong Abdullah pula berkata, dia dapat lebih banyak masa untuk menyusukan anaknya sendiri tanpa perlu bersusah payah memerah susu ke botol seperti yang terpaksa dilakukan ibu lain yang menghantar anak jauh dari tempat kerja.

    “Saya dapat memberi lebih banyak kasih sayang kepada anak berbanding sebelum ini apabila anak terpaksa dihantar kepada ibu di kampung kerana saya tidak ada pilihan lain. Berjumpa dengan anak pun hanya seminggu sekali.

    “Malah, masalah utama menghantar anak kepada jiran atau keluarga akan menyebabkan anak menjadi antisosial kerana kurang bergaul dengan rakan seusianya. Di sini, anak saya dapat ramai kawan dan dapat belajar banyak perkara. Disiplinnya pun dididik dengan cukup sempurna,” katanya.

    Penyelia Tassek, Zuraidah Abdul Manan, yang menguruskan nurseri itu sejak awal penubuhannya pada awal 2001, berkata penubuhan nurseri di tempat kerja sewajarnya menjadi keutamaan semua majikan kerana mampu mengurangkan banyak masalah yang biasanya dihadapi pekerja.

    Katanya, dengan ada nurseri di tempat kerja, wanita dapat memaksimumkan masa bersama anak tanpa menjejaskan kualiti kerja mereka. Majikan juga tidak risau pekerja kerap mengambil cuti lantaran masalah kesihatan anak.

    → No CommentsTags: 1

    Print This Post Print This Post
    1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
    Loading ... Loading ...

    UPM terus usaha jayakan pertanian moden

    November 19th, 2007 · No Comments · 584 views

    Oleh Dr Sarjit Singh Gill

    SEKTOR pertanian adalah satu kegiatan ekonomi terpenting dalam penjanaan pendapatan negara. Sektor ini mendapat perhatian kerajaan setiap tahun, terutama ketika pembentangan bajet negara.

    Sejak zaman penjajahan dan pasca merdeka, negara memberi tumpuan kepada sektor pertanian. Sumbangan sektor itu cukup penting dalam konteks memajukan kehidupan manusia dan masyarakat. Misalnya, pembukaan pelbagai rancangan Felda memberi kehidupan baru kepada keluarga Melayu, terutama di kawasan luar bandar sejak ditubuhkan pada 1956.

    Penubuhan Sekolah Pertanian pada 21 Mei 1931 (kini Universiti Putra Malaysia) penting kerana memberi tumpuan dan penekanan kepada bidang pertanian di Tanah Melayu. John Scott, Pegawai Pentadbir Kerajaan Negeri-Negeri Selat adalah orang yang bertanggungjawab mengasaskan penubuhan Sekolah Pertanian berkeluasan 8.8 hektar di kawasan Serdang, Selangor.

    Sekolah Pertanian itu, kemudian dinaik taraf menjadi Kolej Pertanian Malaya pada 23 Jun 1947. Ternyata Kolej Pertanian Malaya pada ketika itu memberi ruang dan peluang kepada anak tempatan mendapatkan pendidikan mengenai pertanian moden.

    Dasar Pertanian Negara yang dilancarkan pada 1984 bertujuan memaksimumkan pendapatan sektor pertanian, pendapatan pekebun kecil, memajukan dan meningkatkan hasil dan mutu barang eksport.

    Dasar berkenaan banyak memberi sumbangan dalam memajukan sektor pertanian di Malaysia. Kajian semula dasar itu penting untuk memberi nilai tambah baru yang lebih besar dalam membekalkan bahan mentah untuk industri berasaskan pertanian serta makanan kepada rakyat.

    Di samping itu, sektor pertanian ini dapat memberi sumbangan ke arah pemuliharaan ekologi dan alam sekitar serta memastikan pembangunan yang mampan.

    Ada beberapa faktor penting yang perlu diberikan perhatian dalam usaha menjadikan pertanian moden lebih maju dan berdaya saing sehingga menembusi pasaran antarabangsa.

    Pertama, pendidikan moden adalah antara satu faktor utama dalam memperkasakan sektor pertanian moden. Perubahan pemikiran berlaku di kalangan generasi muda yang mementingkan aspek pendidikan sepanjang hayat mengenai ilmu pertanian.

    Pelajar sekolah rendah dan menengah perlu diketengahkan pendedahan awal untuk mengenali aktiviti pertanian baik yang bersifat sara diri mahupun komersial.

    Ketika belajar di universiti, mereka dengan mudah mempelajari bidang pertanian secara mendalam sama ada untuk mengkhusus dalam perlindungan tumbuhan, teknologi pertanian, pengurusan tanah dan perniagaan serta sistem maklumat.

    Semua bidang ini perlu dipelajari untuk memahami dan memperkasakan sektor pertanian moden. Pendedahan kepada teori dan seterusnya dilanjutkan dengan amalan seperti praktikal dapat membantu pelajar mendekati ilmu pertanian secara objektif dan komprehensif.

    Selanjutnya penubuhan agensi berkaitan dengan kemajuan tanah dan pertanian seperti Felda, Felcra, Risda, Mardi, Jabatan Pertanian penting untuk memenuhi dua objektif utama, iaitu mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan dan meninggikan pendapatan golongan petani.

    Semua agensi berkenaan memerlukan pengantarabangsaan dari segi peranan, kualiti dan promosi hasil tanaman agar boleh dipasarkan pada peringkat luar negara. Misalnya, UPM dibina atas hasrat untuk memperkasakan bidang pertanian.

    UPM turut menawarkan program asasi sains pertanian yang melengkapkan spektrum peringkat pengajian dalam bidang pertanian.

    Justeru, bidang pertanian dipelopori UPM bukanlah tertumpu kepada pertanian mengikut perspektif umum, tetapi merangkumi pertanian dalam erti kata yang luas. Dalam konteks ini, UPM turut menawarkan pengajian dalam bidang kejuruteraan pertanian, ekonomi dan pengurusan, alam sekitar, veterinar, pendidikan pertanian, perikanan, bioteknologi, makanan dan pelbagai bidang lain yang menyokong dan mengukuhkan sektor pertanian negara.

    Hal ini, selaras dengan kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, iaitu pertanian menjadi tonggak, bukan pertanian pada takuk lama, tetapi pertanian yang menjana kekayaan. Komitmen murni Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah dalam usaha memperkasa pertanian apabila kursus wajib universiti yang baru diperkenalkan, iaitu pertanian dan manusia.

    Kursus baru ini perlu dipelajari semua pelajar ijazah pertama di UPM. Sebagai seorang ahli antropologi, penulis berpendapat kursus pertanian dan manusia boleh memberi satu kesedaran sosial untuk memberikan perhatian kepada aspek pertanian dan penjagaan alam sekitar dalam melayari urusan kehidupan seharian.

    Perubahan anjakan paradigma pemikiran masyarakat Malaysia mempromosikan sektor pertanian moden adalah gagasan murni dalam membantu meningkatkan pendapatan negara. Sektor pertanian moden mempunyai nilai komersial tinggi sekiranya kita bijak mengurus dan memahami perkembangan pasaran dunia.

    Perspektif masyarakat mengenai pertanian perlu berubah mengikut peredaran masa dan dilihat dari sudut positif kerana sektor pertanian banyak membawa kebaikan dan kemajuan kepada kesejahteraan manusia dan masyarakat.

    Pertanian tidak boleh dilupakan dalam kita menuju era sebuah negara maju berasaskan industri. Hal ini kerana pertanian adalah asas dalam sejarah sosial kehidupan masyarakat kita. Suatu ketika dulu, konsep masyarakat tani begitu penting dalam bidang kajian antropologi. Mereka mengkaji kehidupan sosial masyarakat tani dari segi sosiobudaya, ekonomi dan sebagainya.

    Penggunaan teknologi moden juga penting dalam memperkasakan bidang pertanian. Perkembangan dan penemuan teknologi baru boleh membawa perubahan, terutama penggunaan mesin dan jentera moden untuk kegiatan perekonomian pertanian bagi menambah hasil pengeluaran dan meninggikan keuntungan kepada petani moden.

    Penulis ialah Pensyarah Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Ekologi Manusia, UPM

    → No CommentsTags: 1

    Print This Post Print This Post
    1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
    Loading ... Loading ...

    Laporan Khas: Galak majikan buka pusat jagaan

    November 19th, 2007 · No Comments · 124 views



    Aminah Abdul Rahman

    PERATUSAN pekerja wanita negara ini yang sentiasa meningkat setiap tahun menyebabkan aspek penjagaan anak tidak diberi penekanan sehingga mengganggu proses keharmonian rumah tangga dan memberi masalah kepada pembentukan sebuah keluarga berkualiti.

    Malah, ibu bapa bekerjaya terpaksa melepaskan tanggungjawab utama mereka untuk mendidik dan memberi perhatian terhadap anak kepada individu lain sama ada ahli keluarga, jiran, pembantu rumah, kawan atau pusat jagaan.

    Lebih mendukacitakan apabila ada yang membiarkan anak bersendirian di rumah kerana tidak mampu membayar kos penjagaan yang dikenakan.

    Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Aminah Abdul Rahman, berkata berdasarkan hasil kajian penduduk dan keluarga Malaysia menunjukkan 2.2 peratus wanita bekerja terpaksa membiarkan anak di bawah umur tujuh tahun tinggal bersendirian di rumah.

    Malah, katanya, daripada sejumlah besar wanita itu yang berusia sekitar 15 hingga 49 tahun terpaksa mencari pelbagai alternatif untuk menjaga anak mereka selama mereka bekerja dan majoritinya memilih ahli keluarga terdekat untuk melaksanakan tugas itu.

    Keadaan itu menjadikan hubungan kekeluargaan tidak dapat dijalin dengan sempurna selain mewujudkan pelbagai masalah sosial lantaran tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada ibu bapa.

    “Senario itu menyebabkan pelbagai masalah lain termasuk kurangnya produktiviti di kalangan pekerja kerana kerap berdepan dengan rasa bimbang lantaran keselamatan anak yang tidak terjamin sepanjang berada di bawah pengawasan jauh daripada pemerhatian ibu bapa.

    “Lantaran itulah, hasil kajian menunjukkan, 56 peratus daripada wanita yang berhenti kerja adalah disebabkan masalah penjagaan anak dan ia pastinya merugikan industri kerana 47 peratus wanita dalam kumpulan usia 15 hingga 65 tahun di negara ini bekerja,” katanya.

    Beliau berkata, hasil tinjauan juga menunjukkan, hampir 50 peratus daripada wanita bekerja berharap supaya majikan menubuhkan pusat penjagaan anak di tempat kerja dan memberi subsidi bagi kos penjagaan anak sekiranya dihantar ke tempat lain. Malah, ada yang meminta majikan menyediakan ruang memerah, menyimpan dan menyusu di pejabat.

    Katanya, wanita berkerjaya sebenarnya amat menitikberatkan soal penjagaan anak dan kebanyakan mereka akan berada dalam keadaan tertekan untuk melaksanakan tugasan dengan sempurna sekiranya anak menghadapi masalah serta berada jauh dari tempat kerja.

    Merujuk kepada semua permasalahan itulah, Aminah berpendapat sewajarnya kerajaan mencari satu mekanisme untuk menggalakkan majikan membuka pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja.

    “Setakat ini kerajaan hanya menyediakan geran penubuhan pusat penjagaan kanak-kanak sebanyak RM80,000 kepada premis di bawah agensi kerajaan saja. Malah, pemberian subsidi penjagaan anak sebanyak RM180 kepada keluarga berpendapatan di bawah RM2,000 juga memfokuskan kakitangan kerajaan,” katanya.

    Presiden Kesatuan Wanita Muslim Antarabangsa Malaysia (IMWU), Dr Robiah Kulop Hamzah, berkata pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja akan memberi lebih banyak peluang kepada ibu untuk mencurahkan kasih sayang terutama bagi menyusu anak mereka.

    “Majikan yang mewujudkan nurseri di tempat kerja pastinya mengharapkan pekerja dalam keadaan stabil tanpa diganggu dengan masalah lain terutama hal keluarga. Apabila majikan ambil berat mengenai perkara ini, pastinya pekerja akan lebih bertanggungjawab kerana kebajikan mereka dijaga dengan sempurna,” katanya.

    Presiden Persatuan Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Malaysia, Datin Radziah M Daud, pula berkata kerajaan sewajarnya turut memikirkan insentif tertentu untuk menggalakkan syarikat swasta turut mampu membuka nurseri di tempat kerja.

    “Sekiranya semua agensi kerajaan ditawarkan geran sebanyak RM80,000 untuk tujuan itu, apa salahnya jika satu jenis geran diperkenalkan khusus untuk syarikat swasta dengan mengenakan syarat tertentu. Setidak-tidaknya, insentif itu juga boleh diberikan dalam pelbagai bentuk bagi menggalakkan syarikat swasta menubuhkan nurseri di premis mereka.

    “Kerajaan perlu meletakkan peraturan iaitu bagi premis atau syarikat yang pekerjanya melebihi satu jumlah ditentukan, mereka perlu menubuhkan nurseri untuk anak pekerja mereka. Paling tidak pun, pilih satu nurseri terdekat untuk dijadikan nurseri dalam komuniti,” katanya.

    → No CommentsTags: 1

    Print This Post Print This Post
    1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
    Loading ... Loading ...

    Seluruh Bangladesh dilanda ribut, ombak

    November 18th, 2007 · No Comments · 50 views

    Tentera guna kapal, helikopter mencari beratus-ratus mangsa masih hilang, baik pulih kemudahan

    DHAKA: Kapal tentera dan helikopter semalam cuba untuk menyelamatkan beribu-ribu penduduk yang terselamat daripada ribut tropika yang membunuh lebih 1,000 penduduk dan menyebabkan hampir keseluruhan Bangladesh dilanda angin kuat dan ombak besar.

    Ribut Sidr melanda kawasan pantai selatan Bangladesh malam Khamis lalu dengan angin selaju 250 km sejam dan membawa ombak setinggi lima meter. Ia adalah ribut paling kuat sejak 1991 yang membunuh sekurang-kurangnya 143,000 penduduk di negara itu.

    Kapal tentera laut digunakan untuk mencari beratus-ratus penduduk di kawasan pantai yang dilaporkan hilang dan membersihkan sungai yang dipenuhi dengan kapal yang tenggelam bagi memulihkan keadaan, kata pihak berkuasa.

    Helikopter juga digunakan ke kawasan terjejas untuk menggugurkan makanan dan air minuman serta ubat-ubatan kepada penduduk yang terselamat.

    Angka kematian rasmi akibat ribut berkenaan dianggarkan lebih 900 tetapi beberapa akhbar semalam memberikan angka di antara 1,100 hingga 2,000, dengan memetik pemberita mereka dari kawasan yang terjejas.

    “Ia mengambil masa beberapa hari untuk melengkapkan operasi menyelamat dan mencari serta mengetahui jumlah sebenar korban dan anggaran kerugian harta benda,” kata pegawai kementerian bencana dan makanan, Ayub Miah.

    Tentera laut Amerika Syarikat dilaporkan bersedia menghantar dua kapal bantuan bersama helikopter bagi membantu usaha menyelamat.

    Bangladesh sehingga kini belum menerima tawaran rasmi dari tentera laut Amerika Syarikat, kata Setiausaha Luar, Touhid Hossain kepada Reuters.

    “Jika kami ada, kami akan pertimbangkan dan membuat keputusan.” Bantuan tentera laut Amerika Syarikat juga diperoleh selepas kejadian ribut pada 1991.

    Pegawai bantuan menyifatkan kemusnahan akibat ribut terbabit yang menerbangkan rumah dan menumbangkan pokok serta talian elektrik amat teruk. Kebanyakan kawasan di negara itu terpaksa bergelap kelmarin berikutan bekalan elektrik terputus. Sebahagian besar Dhaka yang juga ibu negara itu yang menempatkan 10 juta penduduk masih tidak mendapat bekalan elektrik semalam.

    “Pasukan bantuan kami memulakan pengagihan kecemasan membabitkan 100,000 orang,” kata Vince Edwards, Pengarah Kebangsaan World Vision Bangladesh. � Reuters

    → No CommentsTags: 1

    Print This Post Print This Post
    1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
    Loading ... Loading ...